PEMANGKU Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat (tengah) menunjukkan dadah syabu dan pelbagai dadah lain dirampas menerusi serbuan, di Johor dan Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
PEMANGKU Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat (tengah) menunjukkan dadah syabu dan pelbagai dadah lain dirampas menerusi serbuan, di Johor dan Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Hasbi Sidek


BARU sahaja dibebaskan dari penjara kerana kesalahan membabitkan dadah awal tahun lalu, seorang lelaki warga tempatan ditahan sekali lagi kerana disyaki mendalangi satu sindiket pengedaran dadah.

Lelaki berusia 34 tahun itu antara lima ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam beberapa serbuan di Kuala Lumpur dan Johor bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, seramai tiga lelaki berusia lingkungan 32 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan pertama di Desa Pandan, di sini dan pemeriksaan menemui 50 bungkusan teh Cina berisi dadah jenis syabu.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah kediaman di lokasi sama yang membawa kepada penemuan tiga paket lutsinar mengandungi syabu dan empat paket ketamin.

“Bertindak atas maklumat tangkapan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga ahli sindiket di Skudai, Johor sebelum menyerbu sebuah kediaman di Senai dan merampas 1,850 pil ekstasi dan 3.7 kilogram dadah jenis heroin,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan terakhir ke atas seorang lelaki dibuat di kawasan Stulang Laut, namun tiada rampasan dilakukan.

Kamarulzaman berkata, secara keseluruhan pihaknya merampas 51.6 kilogram syabu, 3.7 kilogram heroin, 579 gram atau 1,850 biji pil ekstasi dan 298 gram ketamin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.6 juta.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan mereka dipercayai mendapat bekalan dadah dari kawasan ‘segi tiga emas’.

“Malah kami mendapati dalangnya baru sahaja keluar dari penjara. Semakan lanjut mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah dan samun.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 25 Jun depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953.

“Polis turut menyita enam kereta, wang tunai RM2,810, seutas jam tangan dan beberapa barang kemas dianggarkan bernilai RM450,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:12 PM