MOHMAD (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 21 Mac lalu. FOTO Asyraf Hamzah
MOHMAD (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 21 Mac lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Hasbi Sidek


BAGI suku pertama tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap 40,609 individu dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM42.9 juta.

Kejayaan dari 1 Januari hingga Mac lalu itu termasuk beberapa siri serbuan sehingga menumpaskan sindiket dadah selain serbuan makmal dadah di seluruh negara.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya melalui Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dengan kerjasama elemen lain dalam PDRM agresif mengesan sindiket dadah menerusi siasatan dan risikan.

“Antara dadah dirampas adalah ganja iaitu sebanyak 1,152.13 kilogram (kg), syabu (497.57kg), heroin (117.61kg), pil Erimin 5 (40.97kg), ekstasi (29.30kg), pil yaba (11.16kg) dan ketamin sebanyak 9.35kg.

“Nilai anggaran keseluruhan rampasan dadah adalah RM42.9 juta. Dadah jenis ganja mencatatkan rampasan paling tinggi dengan nilai dianggarkan RM20 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga 29 Mac lalu, polis kami menahan 40,609 individu membabitkan 15,737 kerana memiliki dadah, 6,518 orang kerana kesalahan mengedar manakala seramai 313 orang didapati positif ujian air kencing.

“Daripada 40,609 individu ditahan itu, 38,163 adalah warga tempatan dan 2,446 warga asing. Seramai 313 tangkapan dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Kami turut membuat sitaan harta dianggarkan bernilai RM17.56 juta manakala nilai harta dilucutkan adalah RM0.47 juta.

“PDRM menerusi JSJN sentiasa berusaha membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini dengan pelbagai tindakan proaktif bagi mengesan sindiket aktif menjalankan aktiviti dadah melalui siasatan serta risikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 4:18 PM