Mohd Khalil (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Balai Polis Semenyih. FOTO Azhar Ramli
Mohd Khalil (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Balai Polis Semenyih. FOTO Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI yang juga ‘King Pin’ (Raja Dadah) antara lima ahli sindiket yang ditahan dalam lima serbuan serentak di sekitar Lembah Klang dan Johor kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan dari 5 hingga 6.20 petang.

“Hasil serbuan itu, kami menahan lelaki dipercayai ‘King Pin’ dalam sindiket berkenaan yang aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Lelaki terbabit dipercayai memainkan peranan penting dan memiliki kedudukan tertinggi dalam sindiket itu.

“Selain itu, kami turut menahan empat suspek lain yang juga ahli sindiket terbabit berusia antara 32 hingga 48 tahun dengan seorang daripada mereka didapati positif methamphetamin,” katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih, Semenyih hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya turut merampas 64.5 kilogram syabu, 2.7 kilogram ketamin, 77,500 pil ekstasi serta 57 paket minuman disyaki mengandungi dadah dianggarkan bernilai RM5.8 juta.

“Dadah itu dipercayai diperoleh dari Eropoh, ‘Golden Triangle’ (Thailand, Laos dan Myanmar) dan untuk dibekalkan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kami turut menyita lima kenderaan dan wang tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan serta barang kemas dianggarkan RM444,000,” katanya.

Dalam operasi berasingan, pihaknya turut membongkar kewujudan sebuah makmal haram memproses ketamin di Melaka dalam empat serbuan di sekitar Kuala Lumpur yang membawa penahanan 13 ahli sindiket terbabit.

“Dalam serbuan bermula 6.10 petang hingga 9.50 malam itu, kami menahan lapan lelaki dan lima wanita tempatan berusia antara 19 hingga 51 tahun yang terbabit dengan sindiket berkenaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati sembilan daripada suspek terbabit positif dadah selain tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, 13.4 kilogram ketamin, 592 gram syabu, 57 pil ekstasi, tujuh pil erimin 5 serta bahan kimia untuk memproses dadah dianggarkan bernilai RM836,000 dirampas dalam serbuan itu.

“Kami turut menyita tujuh kenderaan, tiga jam tangan berjenama, wang tunai RM3,200 serta pelbagai barang kemas dan barangan elektronik dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan RM320,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 6:36 PM