PERALATAN ditemui dipercayai ditinggalkan pencuri berhampiran kawasan landasan MRT.
PERALATAN ditemui dipercayai ditinggalkan pencuri berhampiran kawasan landasan MRT.
Nurul Hidayah Bahaudin


CUBAAN seorang lelaki mencuri kabel dengan menceroboh ke landasan antara Stesen Taman Connaught dan Taman Suntex, semalam, menyebabkan perkhidmatan tren Sistem Transit Aliran Massa (MRT) terpaksa dihentikan selama 10 minit.

Ketua Pegawai Operasi MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), Azmi Mohd Zain berkata, lelaki terbabit yang menceroboh landasan itu dilihat mengenakan ‘vest’ keselamatan.

“Suspek dipercayai mencuri kabel untuk dijual, namun berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan beg berisi peralatan memotong kabel selepas operasi MRT dihentikan selama 10 minit.

“Kami tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai pengetahuan dan latar belakang dalam sektor elektrik memandangkan kerja pemotongan dibuat dengan teliti.

“Suspek tidak memasuki kawasan landasan melalui stesen tetapi dipercayai menceroboh masuk melalui Jejantas Perumahan Taman Sri Raya yang terletak kira-kira 200 meter dari Stesen Sri Raya,” katanya pada sidang media di Depot MRT, Sungai Buloh, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya terpaksa menghentikan operasi selama 10 minit selepas mengesan pencerobohan individu berkenaan pada waktu puncak iaitu jam 6.17 petang, semalam.

“Kami terpaksa mengarahkan penumpang keluar daripada tren dan mendapatkan alternatif lain ke destinasi masing-masing susulan gangguan itu selain menyediakan pengangkutan bas perantara bagi mengatasi gangguan perkhidmatan sehingga kembali pulih jam 8.04 malam tadi.

“Pihak keselamatan akan meningkatkan rondaan di lokasi itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang selain mengkaji keperluan menempatkan pondok polis bantuan,” katanya.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan perkhidmatan antara stesen itu tergendala hampir dua jam akibat pencerobohan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 4:40 PM