POKOK yang tumbang di laluan landasan antara Stesen Kepong dan Stesen Sungai Buloh akibat hujan lebat, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
POKOK yang tumbang di laluan landasan antara Stesen Kepong dan Stesen Sungai Buloh akibat hujan lebat, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Azizah Mokhtar


PERKHIDMATAN Komuter dan ETS bagi laluan antara Stesen Kepong dan Stesen Sungai Buloh dihentikan sementara susulan kejadian pokok tumbang di laluan antara dua stesen berkenaan, hari ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan sebatang pokok dilaporkan tumbang di KM 372 (laluan landasan KTM) kerana hujan lebat, jam 4.45 petang menyebabkan laluan antara kedua-dua stesen berkenaan terhalang.

“Tiada perkhidmatan tren KTM Komuter antara laluan Stesen Kepong dan Stesen Sungai Buloh buat masa ini.

“Perkhidmatan tren dari Stesen Tanjung Malim akan berhenti di Stesen Sungai Buloh, manakala tren dari Pelabuhan Klang akan berhenti di Stesen Kepong.

“Justeru, penumpang dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan alternatif iaitu MRT di Stesen Sungai Buloh,” katanya.

Namun katanya, perkhidmatan tren bagi laluan Stesen Pelabuhan Klang - Stesen KL Sentral dan Stesen Sungai Gadut - Stesen Batu Caves beroperasi seperti biasa.

Dalam pada itu, katanya perkhidmatan tren ETS 9030 untuk perjalanan dari KL Sentral - Ipoh akan tertangguh di antara laluan Sungai Buloh dan Stesen Kepong.

“Semua perkhidmatan ETS akan mengalami kelewatan perjalanan antara 60 minit hingga 90 minit.

“Maklumat terkini berkaitan operasi tren akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, kerja-kerja baik pulih giat dijalankan bagi memastikan kedua-dua landasan dapat beroperasi seperti sedia kala dalam kadar segera.

“KTMB Berhad memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

“Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau melayari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 7:42 PM