LELAKI yang ditahan kerana menceroboh laluan trek MRT, hari ini. FOTO Twitter Rapid KL
LELAKI yang ditahan kerana menceroboh laluan trek MRT, hari ini. FOTO Twitter Rapid KL
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN seorang lelaki menceroboh laluan trek Transit Aliran Massa (MRT) antara stesen Pusat Bandar Damansara dan Phileo Damansara, Petaling Jaya mengakibatkan perkhidmatan MRT tergendala seketika, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, lelaki yang memakai jersi pasukan bola sepak itu didapati menceroboh laluan trek pengangkutan awam berkenaan menggunakan tangga.

Rapid KL dalam satu kenyataan, memaklumkan suspek dipercayai cuba mencuri kabel di kawasan berkenaan.

“Hasil tindakan pantas pasukan operasi dan polis bantuan kami, penceroboh yang disyaki cuba mencuri kabel berjaya ditahan.

“Perkhidmatan tren disambung seperti biasa. Maaf atas kesulitan,” katanya menerusi kenyataan ringkas di media sosial Rapid KL.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan akan membuat sidang media berhubung tangkapan itu di Depoh MRT Sungai Buloh, Selangor, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 3:26 PM