PEMAIN Itali, Alessandro Bastoni meledak gol penyamaan buat juara bertahan memulakan kempen Euro dengan nota kemenangan. FOTO Agensi
PEMAIN Itali, Alessandro Bastoni meledak gol penyamaan buat juara bertahan memulakan kempen Euro dengan nota kemenangan. FOTO Agensi
AFP

Dortmund, Jerman: Pengendali Itali, Luciano Spalletti lega anak buahnya berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Albania dalam aksi Kumpulan B Euro 2024, awal pagi tadi.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu penting buat Itali dalam usaha negara itu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu itu.

Namun kemenangan itu bukan diraih dengan mudah apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan selepas Albania terlebih dulu di depan menerusi gol paling pantas dalam kejohanan terbesar Eropah itu.

Nedim Bajrami meletakkan Albania di depan seawal 23 saat selepas permainan dimulakan yang nyata mengejutkan kem Itali.

Begitupun skuad Azzuri itu kembali bangkit dan hasilnya Alessandro Bastoni serta Nicolo Barella meledak gol buat memastikan pasukannya memenangi aksi itu.

"Kami beraksi baik tetapi masih terdapat kelemahan dan ia perlu diatasi segera," kata Spalletti kepada pihak media selepas aksi itu.

"Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Kami melakukan gerakan dan mencipta banyak peluang tetapi pertahanan mereka cukup kental di belakang.

"Kami perlu tampil lebih tajam terutama di depan gawang agar peluang-peluang yang ada dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan, jika tidak kami akan berdepan lebih banyak masalah.

"Kadang-kadang kami mungkin terlalu selesa dengan cara kami bermain tetapi sebaliknya kami perlu agresif, mencipta lebih banyak dan cuba menjaringkan gol tambahan itu," katanya.

Itali akan berdepan Sepanyol pada aksi kedua yang sebelum itu turut berjaya merakam kemenangan ke atas Croatia dengan 3-0.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Gelsenkirchen Khamis ini dan kemenangan akan mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 6:28 AM