Mohd Azam Shah Yaacob


PERKHIDMATAN Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) membabitkan laluan antara Stesen Kepong dan Stesen Sungai Buloh kembali beroperasi seperti biasa bermula 5 pagi hari ini selepas kerja mengalihkan pokok tumbang dan baik pulih landasan selesai dijalankan.

Semalam, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) memaklumkan berlaku gangguan perkhidmatan tren selepas insiden pokok tumbang di KM372 antara Stesen Kepong dan Stesen Sungai Buloh, pada 4.45 petang.

Kejadian mengakibatkan kedua-dua landasan terhalang menyebabkan KTM Berhad terpaksa menghentikan operasi Komuter membabitkan laluan antara Stesen Kepong dan Stesen Sungai Buloh.

Perkhidmatan Komuter dari Stesen Tanjung Malim hanya beroperasi sehingga Stesen Sungai Buloh, manakala tren dari Pelabuhan Klang akan berhenti di Stesen Kepong.

Selain itu, perkhidmatan ETS juga mengalami kelewatan perjalanan antara 60 hingga 90 minit.

Berita berkaitan

Perkhidmatan komuter, ETS terjejas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 12:12 PM