KERJA mengalihkan pokok tumbang oleh kakitangan KTMB dengan kerjasama Jabatan Bomba. FOTO Twitter KTMB
KERJA mengalihkan pokok tumbang oleh kakitangan KTMB dengan kerjasama Jabatan Bomba. FOTO Twitter KTMB

PERKHIDMATAN komuter dan tren elektrik (ETS) untuk laluan antara stesen Kepong dan Sungai Buloh dihentikan sementara susulan kejadian pokok tumbang di laluan berkenaan, hari ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, pokok tumbang di Kilometer 372.6 antara stesen Kepong dan Sungai Buloh, 4.45 petang tadi.

"Kereta api dari Tanjung Malim akan berhenti di stesen Sungai Buloh manakala kereta api dari Pelabuhan Klang akan berhenti di stesen Kepong.

"Penumpang digalakkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam alternatif seperti perkhidmatan MRT di Sungai Buloh untuk meneruskan perjalanan mereka.

"Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api bagi laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral dan Sungai Gadut-Batu Caves tidak terjejas," katanya.

KTM turut mengumumkan perkhidmatan ETS akan mengalami kelewatan perjalanan antara 60 hingga 90 minit akibat kejadian itu selepas tren ETS 9030 dalam perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh tertahan di antara laluan stesen Sungai Buloh dan stesen Kepong.

KTM turut meminta maaf bagi kesulitan yang berlaku dan berkata, usaha mengalihkan pokok tumbang itu sedang dijalankan.

Penumpang boleh menghubungi KTMB pada 03-2267 1200 atau melayari laman web rasmi di www.ktmb.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 8:43 PM