DR Maszlee (dua dari kiri) melihat keadaan air Sungai Benut ketika melawat Loji Rawatan Air Simpang Renggam.
DR Maszlee (dua dari kiri) melihat keadaan air Sungai Benut ketika melawat Loji Rawatan Air Simpang Renggam.
Ibrahim Isa


JOHOR BAHRU: Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang terpaksa berhenti operasi sementara waktu sejak Sabtu lalu akibat pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut dibuka semula, semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, pemantauan berterusan dilakukan sejak kelmarin dan bacaan ammonia pada paras selamat iaitu 2 part permillion (ppm) jam 7.30 malam semalam.

“Sabtu lalu, bacaan ammonia di LRA Simpang Renggam adalah 20 ppm menyebabkan ia terpaksa ditutup kerana boleh membahayakan pengguna.

“Bagaimanapun, hasil pemantauan berterusan kami mendapati keadaan bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Dan jam 7.30 malam tadi (semalam), ia hanya mencatat bacaan 2 ppm (paras selamat) dan kami menasihatkan ia boleh beroperasi semula,” katanya ketika dihubungi, di sini, malam semalam.

Menurutnya, pihaknya memantau keadaan kawasan sekitar terutama di lokasi pembuangan sampah bagi memastikan tiada titisan air larutan resapan (lecet) dari tapak pelupusan sampah mengalir ke Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap hingga boleh meningkatkan paras ammonia.

 BANGKAI ikan ditemui terapung di Sungai Benut akibat pencemaran ammonia.
BANGKAI ikan ditemui terapung di Sungai Benut akibat pencemaran ammonia.

Katanya, pada masa sama pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang awam bagi menyalurkan maklumat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, jurucakap SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) berkata, sebelum ini pihaknya bercadang melakukan catuan air bermula Khamis ini berikutan kandungan ammonia yang tinggi di LRA Simpang Renggam.

“Agihan air terpaksa dibuat menggunakan lori di beberapa kawasan terjejas, bagaimanapun disebabkan perkembangan terbaru ini kami tidak akan melakukan catuan.

“Bagaimanapun, disebabkan jumlah air terlalu sedikit di LRA itu, jumlah air yang disalurkan mungkin lebih sedikit berbanding kebiasaan,” katanya.

Sebelum ini, kira-kira 75,000 penduduk di Simpang Renggam, Ayer Hitam, Kulai dan Pontian berdepan catuan bekalan air berikutan penutupan LRA terbabit akibat pencemaran ammonia di Sungai Benut sejak Sabtu lalu.

Keadaan itu berlaku disebabkan benteng tanah di kolam air lecet tapak pelupusan sampah berkenaan pecah kerana tidak dapat menampung takungan air akibat hujan lebat, sehari sebelum kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:30 AM