FOTO yang tersebar di media sosial.
FOTO yang tersebar di media sosial.
Mohamad Fahd Rahmat


KIRA kira 6,000 pengguna di Simpang Renggam, Kluang, Johor, terjejas selepas Loji Rawatan Air Simpang Renggam ditutup selepas bacaan Amonia yang tinggi dikesan pada sumber air mentah sejak semalam.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill Sdn Bhd Jamaluddin Jamal berkata, sumber air mentah untuk loji berkenaan mencatatkan bacaan Amonia 13 perjuta (PPM) berbanding bacaan 1.5 PPM dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kira kira 6,000 akaun pengguna terjejas akibat penutupan itu dan loji berkenaan akan dibuka semula sekiranya bacaan kembali stabil di bawah paras dibenarkan KKM.

"Pencemaran berlaku apabila kolam air larutan resapan (leachate) di pusat pelupusan Renggam pecah dan menyebabkan pencemaran air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, dalam tinjauan dilakukan di sekitar Simpang Renggam, mendapati beberapa premis perniagaan restoran 24 jam selain pusat cucian kenderaan terjejas dengan kejadian itu.

Pengusaha D' Tepian Amirul, Amirul Anuar Sulaiman, 39, di Pusat Perniagaan Wawasan di sini, terpaksa mencatu bekalan air di restorannya sejak malam tadi.

"Saya terpaksa menggunakan alternatif lain termasuk menyediakan tujuh tong drum plastik selain menggunakan air mineral untuk masakan dan minuman pelanggan manakala menggunakan bekas pakai buang untuk pembungkusan," katanya.

Selain beberapa kawasan kediaman penduduk terjejas kerana ketiadaan bekalan air bersih, namun premis cucian pakaian 24 jam masih beroperasi seperti biasa dipercayai mempunyai bekalan air di tangki simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 1:13 PM