MAJLIS pengebumian jenazah Allahyarham Bakhtiar. Gambar kecil (Fitri Al-Amin). FOTO Azhar Ramli
MAJLIS pengebumian jenazah Allahyarham Bakhtiar. Gambar kecil (Fitri Al-Amin). FOTO Azhar Ramli
Mohd Nasif Badruddin


“MASA nak bawa ke hospital, dia cakap abah nak pergi dah, dia suruh jaga adik,” kata Fitri Al-Amin Bakhtiar, 21, anak ketiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi, hari ini, akibat serangan jantung.

Fitri Al-Amin berkata, bapanya yang mengalami komplikasi buah pinggang sejak dua tahun lalu turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Katanya, arwah terjaga daripada tidur dan mengadu sesak nafas kira-kira jam 3 pagi, sejam selepas pulang daripada mengikuti aktiviti di surau berdekatan.

Menurutnya, dia yang dikejutkan ibunya, Basirah Sardiq Muhammad, 49, kemudian menghantar bapanya ke Hospital Kajang.

“Keadaan Allahyarham bertambah lemah dan doktor yang merawatnya turut memberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia jam 4.45 pagi.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang petanda pelik, cuma dua tiga hari ini dia ada simptom sesak nafas dan tidak boleh tidur,” katanya.

Allahyarham meninggalkan balu, Basirah Sardiq Muhammad, 49, serta lima anak iaitu Nurul Filzah, 29; Fakhrol Alma, 24; Fitri Al-Amin, 21; Siti Aishah, 19, dan Eisma Illmi, 9.

Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang ke rumah keluarga di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, kemudiannya disolatkan selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Pasir Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Baru.

Antara kenamaan yang menziarahi Allahyarham ialah Menteri Besar Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.

Bakhtiar, menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Berita berkaitan

Jenazah ADUN Semenyih selamat dikebumikan

Tun M ucap takziah

BERSATU Selangor akan bincang lanjut

ADUN Semenyih meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 4:58 PM