Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Baddrol Bakhtiar iaitu Baktiar Md Isa, 66, meninggal dunia pagi tadi, akibat masalah kesihatan.

Bapa mentua Baddrol, Mustafa Khalid Hanafi, 62, berkata, arwah Bakhtiar menghembuskan nafas terakhir di rumah Baddrol di Sungai Petani, kira-kira 6 pagi tadi.

"Bakhtiar pernah menjalani pembedahan masalah hernia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) beberapa hari lalu.

"Jenazah dijangka akan dimandi dan disolatkan di Masjid Al Muttaqin Taman Ria, Sungai Petani, jam 12 tengah hari ini ," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mustafa berkata, jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Masjid al-Busyra, Merbok.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, Baddrol yang juga bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Gurun dengan memperoleh 17,771 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 10:49 AM