THAIVEEGAN (kiri) bersama Kanoya (tengah) menunjukkan panduan keselamatan jenayah ketika lawatan ke IPK Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
THAIVEEGAN (kiri) bersama Kanoya (tengah) menunjukkan panduan keselamatan jenayah ketika lawatan ke IPK Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
Hadzlihady Hassan dan Mohamed Basyir


LIMA anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian anggota Cawangan Khas di hadapan sebuah hotel di Pulau Tikus, Georgetown, Isnin minggu lalu ditukarkan serta-merta ke lokap berpusat.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, setakat ini pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes terbabit dan sudah merekod 15 keterangan.

“Kertas siasatan dijangka siap selewat-lewatnya minggu depan dan kita akan memanggil 10 lagi saksi terdiri daripada orang awam serta sudah mengenalpasti mereka.

“Lima anggota polis terbabit sudah dibebaskan serta dipindahkan bertugas ke lokap berpusat dan tiada lagi (polis) akan ditahan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya di IPK negeri, hari ini.

Thaiveegan berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya dan pihaknya sedang menunggu laporan kimia serta bedah siasat.

Dalam kejadian pada 4.45 pagi 17 Disember lalu, mayat Sofian Shahari, 47 tahun, ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan parkir kereta depan sebuah hotel di Pulau Tikus.

Sebelum kejadian, mangsa dipercayai berada di sebuah pusat karaoke di bangunan terbabit bagi menyambut majlis hari jadi seorang anggota polis dari IPK negeri.

Berikutan itu, lima anggota polis yang dipercayai turut berada ketika majlis sambutan hari jadi berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Lima anggota polis ditahan'

'Anggota polis Cawangan Khas maut jatuh bangunan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 3:53 PM