Hadzlihady Hassan


LIMA anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes anggota Cawangan Khas yang ditemui maut di hadapan sebuah hotel di Pulau Tikus, Georgetown, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan berkata, semua anggota terbabit ditahan semalam dan akan direman untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, setakat ini saringan ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes terbabit bagi mengenal pasti punca kematian anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut itu.

“Keterangan daripada semua anggota polis yang ditahan ini penting kerana kita percaya mereka ada bersama-sama mangsa ketika kejadian.

“Kita juga masih menunggu laporan lengkap bedah siasat yang dijangka akan diketahui dalam masa terdekat, selain turut akan memanggil lagi beberapa saksi terdiri daripada orang awam,” katanya yang ditemui ketika mengadakan lawatan ke IPD Timur Laut, hari ini.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, mayat anggota polis berusia 47 tahun terbabit ditemui tertiarap di atas jalan selepas dipercayai terjatuh dari bangunan berhampiran sebuah hotel.

Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu pergi ke sebuah pusat karaoke bersebelahan bangunan hotel untuk menyambut hari jadi rakannya yang juga seorang anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Kematian anggota polis terbabit masih menimbulkan misteri kerana polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian menemui beg dan selipar sebelah kiri milik mangsa di tingkat dua hadapan sebuah klinik pergigian di bangunan pusat karaoke berkenaan.

Selain itu, pemeriksaan lanjut di tingkat empat bangunan sama, polis menemui kesan koyakan langsir di kaki lima pusat karaoke berkenaan, manakala dompet termasuk kad kuasa dan telefon bimbit mangsa turut hilang.

Berita berkaitan

Anggota polis Cawangan Khas maut jatuh bangunan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 1:54 PM