Omar Ahmad


Johor Bahru: Empat anggota polis daripada Balai Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi ditahan semula berhubung kes penyeludupan dadah dalam lokap di IPD tersebut, 3 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat anggota berusia 28 hingga 36 tahun ditahan di IPD Kota Tinggi, 9 pagi , 10 Disember lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor.

Katanya mereka yang ditahan berpangkat koperal dan lans koperal.

"Hasil saringan urin mendapati dua daripada empat anggota yang ditahan disahkan positif dadah jenis methamphetamin.

"Sebelum ini kita tahan 10 suspek terlibat dengan kes penyeludupan dadah dalam lokap, yang mana sembilan daripada suspek adalah anggota dan pegawai Polis IPD Kota Tinggi dan seorang awam. Lima daripada suspek kita bebaskan untuk jadi saksi pendakwaan.

"Manakala empat anggota polis yang saya katakan tadi dan seorang awam akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Jadi ada lima suspek kita ambil tindakan," katanya pada sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Pada 3 Disember lalu, polis Johor menahan sembilan anggota polis dan seorang awam ditahan dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Sembilan anggota polis berusia 20 hingga 36 tahun itu yang berpangkat koperal hingga konstabel adalah penjaga lokap di IPD berkenaan.

Manakala seorang awam adalah anak kepada tahanan dalam lokap yang dikenali sebagai 'Datuk Ajim' berusia 23 tahun.

Hasil pemeriksaan lokap, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 38.65 gram bernilai RM3,865, 42.25 gram dadah jenis heroin bernilai RM2,112.50 dan sejumlah tembakau.

Berita berkaitan:

  • Anggota dapat upah RM50 hingga RM1,500 [METROTV]
  • Dah buka kertas siasatan terhadap 3 pegawai polis [METROTV]
  • 9 polis antara 10 ditahan [METROTV]
  • Dadah bolos masuk lokap polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 1:41 PM