Siraj Mohd Zaini


DUA penyamun tidak bernasib baik apabila hanya memperoleh beg berisi kasut kanak-kanak di dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bukit Tinggi, Klang, kelmarin.

Lebih malang apabila kedua-duanya dicekup anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam selepas kegiatan jenayah mereka dirakam pengunjung pasar raya itu sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dua suspek lelaki dikenali sebagai ‘Burung’ dan ‘Adik’ ditahan di sekitar Bukit Tinggi pada 2.30 pagi dan 12 tengah hari.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 33 tahun serta 19 tahun dan mereka turut mempunyai pelbagai rekod jenayah.

“Suspek kedua iaitu ‘Adik’ baru saja keluar penjara pada Oktober lalu kerana kes curi.

“Kedua-dua suspek mendakwa kereta yang dipecah masuk itu kebetulan tidak berkunci, mereka buka but kereta dan ambil beg,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Shamsul berkata, kedua-dua suspek mengenali antara satu sama lain kerana masing-masing terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mereka dipercayai aktif dengan jenayah pecah kereta sejak sebulan lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kenderaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kedua-dua suspek menaiki motosikal Honda EX5 dilihat berlegar-legar di kawasan parkir pasar raya berkenaan.

Seorang daripada suspek kemudiannya berjalan ke arah sebuah kereta Perodua Kancil sebelum dilihat membuka pintu belakang kenderaan itu dan masuk ke dalamnya.

Selepas itu, dia kemudiannya keluar semula dan membuka but kereta dan melarikan sebuah beg berwarna hitam.

Dalam video berdurasi 1 minit 37 saat itu, seorang lelaki dilihat cuba mengejar kedua-dua suspek, namun gagal apabila mereka bergegas meninggalkan lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 5:15 PM
RAKAMAN video menunjukkan kegiatann dua lelaki yang memecah masuk kereta di kawasan pasar raya di Bukit Tinggi, Klang yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN video menunjukkan kegiatann dua lelaki yang memecah masuk kereta di kawasan pasar raya di Bukit Tinggi, Klang yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca