Ruwaida Md Zain


Klang: Dua penjenayah diberkas selepas melarikan selaras senapang patah, sebuah kenderaan mewah serta lapan beg tangan berjenama dari sebuah rumah di Kampung Sungai Kembong, Pulau Indah di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan itu susulan laporan dibuat anak mangsa yang berusia 32 tahun pada hari kejadian.

"Kejadian disedari anak mangsa kira-kira 3 petang selepas mendapati pagar hadapan serta pintu utama rumah bapanya terbuka.

"Dia kemudian memeriksa di dalam rumah dan mendapati senapang patah jenis Webley and Scott milik bapanya serta lapan beg tangan milik ibunya yang berjenama Coach, Longcamp dan Bonia hilang.

"Anak mangsa juga mendapati kenderaan Vellfire warna putih milik adik iparnya turut hilang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika sedang berehat di sebuah stesen minyak Jalan Duta, menghala ke Kuala Lumpur kira-kira 5.15 petang.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai dalam perjalanan ke Johor.

Katanya, semasa tangkapan, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan Honda Civic dinaiki suspek selepas mereka cuba melanggar polis sehingga menyebabkan seorang anggota cedera di tangan kanan dan kaki.

"Semakan mendapati suspek pertama berusia 41 tahun beralamat Skudai, Johor mempunyai 58 rekod lampau jenayah dan dadah serta lima rekod dikehendaki, malah baru sahaja dibebaskan dari tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) Oktober lalu di Sabah.

"Seminggu selepas dibebaskan, suspek melarikan Honda Civic terbabit dari Taman Pelangi, Johor (29 Oktober) sebelum digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah di Pulau Indah.

"Sementara itu, rakan sejenayah suspek yang juga berusia 41 tahun beralamat di Port Dickson, Negeri Sembilan didapati mempunyai lima rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya, selain Honda Civic berkenaan, turut dirampas Toyota Velfire, serangkai kunci kenderaan, kunci rumah, alat kawalan jauh pintu pagar rumah, peralatan curi kenderaan dan pecah rumah serta lima dari lapan beg tangan berkenaan.

"Sebelum suspek ditangkap, polis berjaya menemukan Toyota Velfire yang diparkir di tempat letak kenderaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira jam 10.40 malam, pada 3 November.

"Kenderaan itu dipercayai akan dijual kepada seorang lelaki dikenali sebagai 'Panjang' dari Rantau Panjang, Kelantan dengan harga RM20,000.

"Pada 4 November pula, senapang patah ditemui pada jam 7.50 malam di tepi Jalan Dato Harun Pulau Indah Pandamaran, dipercayai dibuang oleh suspek, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes pecah rumah dengan melarikan senapang patah serta Toyota Vellfire itu direman enam hari bermula 6 November.

"Siasatan lanjut masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan," katanya.

SHAMSUL Amar (tengah) menunjukkan barang yang dirampas dalam kes pecah rumah dan melarikan kenderaan serta senjata api. FOTO Faiz Anuar.
SHAMSUL Amar (tengah) menunjukkan barang yang dirampas dalam kes pecah rumah dan melarikan kenderaan serta senjata api. FOTO Faiz Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 5:53 PM