JSJN Selangor merampas 13.26 kilogram dadah jenis methamphetamine. FOTO IHSAN IPK Selangor
JSJN Selangor merampas 13.26 kilogram dadah jenis methamphetamine. FOTO IHSAN IPK Selangor
Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Dua lelaki ditahan bersama 13 bungkusan teh Cina berisi dadah jenis Methamphetamine di kawasan parkir kenderaan sebuah pasar raya di Bandar Mahkota Cheras dekat sini, 12 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, serbuan hasil risikan serta maklumat awam.

"Pada serbuan jam 4.30 petang, beg mengandungi bungkusan dadah itu ditemui dalam bonet kereta digunakan kedua-dua suspek lelaki berusia 30 dan 32 tahun.

"Dadah itu seberat 13.26 kilogram (kg) dan bernilai RM477,360. Ia untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya pada kenyataan hari ini.

Selain itu, polis turut menyita kereta serta wang RM500 dan jumlah keseluruhan sitaan RM38,500.

Katanya, kedua-dua suspek adalah penganggur dan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif.

"Kedua-dua suspek direman sehingga Ahad ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dadah itu boleh dibekalkan untuk kegunaan 26,520 penagih bagi tempoh sehari selepas mengambil-kira penggunaan harian iaitu 0.5 gram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 4:53 PM