KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat (tengah) bersama anggotanya menunjukkan dadah jenis heroin seberat 2.27 kilogram yang dirampas dalam serbuan di kawasan letak kereta Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Pahang. FOTO Muhd Asyraf Sawal
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat (tengah) bersama anggotanya menunjukkan dadah jenis heroin seberat 2.27 kilogram yang dirampas dalam serbuan di kawasan letak kereta Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Pahang. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Nik Sukry Ramli


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang memberkas dua suspek dipercayai pengedar dadah di kawasan letak kereta Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Bentong, malam Ahad lalu.

Suspek berusia 24 dan 40 tahun berasal dari Selangor itu ditahan pada 10 malam selepas berada dalam keadaan mencurigakan dalam kereta Honda City di kawasan parkir itu.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Lam Thian Huat berkata, pegawai dan anggota polis kemudiannya mengepung kawasan letak kereta itu sebelum menahan suspek.

“Memang berlaku pergelutan antara suspek dan anggota kita kerana sebaik pegawai dan anggota kita memperkenalkan diri, seorang daripadanya cuba meloloskan diri, namun berjaya diberkas.

“Kita melakukan serbuan sebaik seorang daripada suspek membuka but kereta Honda City dan mengeluarkan satu beg kain dipercayai mengandungi dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.

Lam berkata, pemeriksaan awal mendapati beg kain dirampas daripada suspek mengandungi dadah jenis heroin seberat 2.27 kilogram (kg).

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek pula membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 2.90 gram.

“Nilai rampasan dadah jenis heroin dianggarkan RM68,125, manakala bagi syabu pula, kita anggarkan bernilai RM435.

“Suspek mengaku memperoleh bekalan itu dari ibu negara dan untuk diedarkan di sekitar Bentong, Temerloh serta kawasan FELDA berdekatan.

“Kita menjalankan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek dan hasilnya mereka negatif dadah dan kita menyita kereta digunakan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya.

Lam berkata, semakan dilakukan mendapati suspek berusia 40 tahun memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan suspek berusia 24 tahun itu pula tidak ada rekod lampau.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 3:05 PM