ADNAN (tiga dari kanan) ketika sidang media rampasan dadah di IPK Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ADNAN (tiga dari kanan) ketika sidang media rampasan dadah di IPK Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Hasbi Sidek


MEMILIH pasar raya sebagai tempat berurusan, namun strategi dua lelaki aktif mengedar dadah di sekitar ibu negara dihidu pihak polis sebelum ditahan bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM609,515.

Dua lelaki berusia 25 dan 37 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berbeza di Kepong dan Petaling Jaya, Selangor, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, kedua-dua suspek ditahan di dua pasar raya berbeza dipercayai ketika berurusan dengan pelanggan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul diketuai Deputi Superintendan Mohd Azam Ab Razak menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di parkir pasar raya dekat Taman Kepong, Kuala Lumpur pada 6 petang Isnin lalu.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta Proton Saga dipandu suspek, polis menemui satu beg plastik berwarna merah mengandungi satu beg plastik hitam berisi 5,000 pil dadah disyaki eramin 5 seberat 1,440 gram,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap suspek, polis ke sebuah rumah di Jalan Robertson, Bukit Bintang, dan menjalankan pemeriksaan sebelum menemui dadah disyaki ketamin seberat 64.80 gram.

Katanya, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM10,150, seutas jam tangan, seutas gelang emas, dua cincin, dan sebuah kereta Proton Saga dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM32,350 manakala nilai dadah RM84,729.

“Bagi kes kedua, pasukan sama menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di parkir sebuah pasar raya dekat Damansara Jaya dan merampas kunci kereta daripada suspek.

“Polis memeriksa kereta suspek dan menemui 34,750 pil disyaki dadah jenis eramin 5 seberat 10,090 gram.

“Seterusnya pada jam 2.15 petang esoknya, kami ke sebuah kondominium dekat SS 20, Petaling Jaya. Pemeriksaan di kediaman itu menemui 100 pil disyaki ekstasi seberat 43,38 gram, 50 pil disyaki pil yaba seberat 4.94 gram dan serbuk ekstasi seberat 1.36 gram,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di Lembah Klang dan dipercayai memilih pasar raya sebagai lokasi untuk berurusan dengan pelanggan.

Katanya, suspek pertama direman sehingga 19 Mei manakala suspek kedua direman sehingga 20 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 9:55 PM