Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua lelaki tidak sempat mengedar lebih 200 kilogram (kg) ganja mampat di pasaran tempatan apabila mereka ditahan polis dalam tiga serbuan di sekitar Kedah dan Perlis, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Perlis.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan pada 22 Mei lalu jam 1.45 tengah hari terhadap sebuah kereta jenis Proton Inspira di parkir di hadapan sebuah pasar raya di Changlun.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang berdiri di bahagian but belakang kereta.

"Pemeriksaan pada but belakang kereta itu menemukan enam guni putih berisi 20 slab berbalut dengan kertas kuning keemasan dan plastik lutsinar yang berisi mampatan daun kehijauan disyaki ganja anggaran berat 121,785 gram," katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini, hari ini.

Mohd Roze berkata, susulan itu, serbuan kedua dilakukan jam 3 petang pada hari sama di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam dan pihaknya menemukan empat guni putih berisi 81 ketulan ganja seberat 80,869 gram.

SAZALI (tengah) menunjukkan gambar barangan yang disita ketika sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai.  FOTO Izz Laily Hussein
SAZALI (tengah) menunjukkan gambar barangan yang disita ketika sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai. FOTO Izz Laily Hussein

Katanya, serbuan ketiga pula dilakukan di hadapan rumah di Kampung Melayu, Padang Besar, Perlis dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.

"Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan polis merampas tiga kenderaan digunakan suspek.

"Hasil ujian saringan awal mendapati, suspek pertama positif methampetamine dan mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.

Mohd Roze berkata, suspek kedua pula tidak bekerja dan negatif dadah malah tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, keseluruhan dadah dirampas adalah lebih 202 kilogram yang nilainya berjumlah RM506,635 manakala nilai keseluruhan termasuk tiga kenderaan yang dirampas berjumlah RM130,000.

"Siasatan awal mendapati, dadah ini dipercayai untuk pasaran Kedah dan Perlis dan kita percaya ia berkemungkinan dibawa masuk melalui negara jiran.

"Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan untuk mengetahui bagaimana ia dibawa masuk dan mungkin melalui jalan laut disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan banyak jalan ditutup," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman sehingga 29 Mei ini untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 2:03 PM