Amirul Aiman Hamsuddin

POLIS menyelesaikan 10 kes pecah kereta yang berlaku di tempat letak kereta sebuah pasar raya di daerah ini selepas menahan dua lelaki di sebuah rumah di Jalan Sembilang, Teluk Pulai, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, semua suspek berusia 27 dan 35 tahun ditahan kira-kira jam empat pagi, Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil penahanan itu, polis merampas beberapa alat dipercayai digunakan untuk memecah masuk kenderaan termasuk mesin pemotong besi, alat pengimpal, gerudi, pam angin, pemotong kayu.

Katanya, polis turut menemui beberapa barangan dipercayai dicuri antaranya lampu hadapan dan lampu belakang, empat buah alat kawalan tingkap (power window), radio digital serta lapan tayar kereta.

“Siasatan mendapati, suspek yang berusia 35 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun dan dadah.

“Suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi dan pecah kenderaan sejak setahun lalu. Susulan penangkapan itu, polis yakin berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes di kawasan itu,” katanya tadi.

SHAMSUL Amar (tiga dari kanan) menunjukkan komponen kereta yang dicuri di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya  di Bandar Bukit Tinggi Klang. FOTO BERNAMA
SHAMSUL Amar (tiga dari kanan) menunjukkan komponen kereta yang dicuri di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bandar Bukit Tinggi Klang. FOTO BERNAMA

Shamsul Amar berkata, dalam kejadian pada 7 Januari lalu, suspek dipercayai memecah masuk dan mencuri aksesori sebuah kereta model Perodua Axia di tempat letak kereta di pasar raya itu.

Katanya, pemilik kereta menyedari kejadian itu ketika mahu mengambil keretanya kira-kira jam 5.30 petang, apabila beliau mendapati cermin sebelah pemandu keretanya sudah pecah.

“Selepas membuat pemeriksaan, mangsa mendapati empat alat kawalan ‘power window’, lampu hadapan dan lampu belakang, serta wang tunai RM100 hilang dengan jumlah kerugian keseluruhan RM600,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Amar berkata, pihaknya berjaya merampas 238 karton pelbagai rokok seludup bernilai RM125,875 dalam serbuan di sebuah rumah dan enam premis kedai runcit di sekitar Kampung Delek, Pelabuhan Klang dan Jalan Tepi Sungai Klang.

“Dalam serbuan itu, lapan lelaki termasuk tiga warga Indonesia berusia lingkungan 27 hingga 35 tahun ditangkap, bagaimanapun siasatan mendapati semua suspek itu dipercayai penjaga premis dan tiada rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 5:03 PM