Ismadi (dua dari kanan) menunjukkan heroin yang dirampas dalam serbuan berhampiran sebuah restoran di Puchong semalam. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Ismadi (dua dari kanan) menunjukkan heroin yang dirampas dalam serbuan berhampiran sebuah restoran di Puchong semalam. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

DUA lelaki ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM60,000 di kawasan parkir kereta berhampiran sebuah restoran di Puchong semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat sebelum sepasukan polis menyerbu sebuah kereta Toyota Vios dinaiki kedua suspek berusia lingkungan 40-an dan 50-an pada 7.15 malam.

Menurutnya, ketika anggota polis bertugas mahu melakukan pemeriksaan terhadap dua suspek itu, mereka cuba melarikan diri hingga berlakunya pergelutan tetapi berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menemui sebuah beg hitam mengandungi 10 paket dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram yang dicampak suspek ke tempat duduk penumpang belakang kenderaan itu.

“Jumlah dadah itu boleh menjadi bekalan kepada 15,000 penagih dalam tempoh sehari,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Ismadi berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dan mendapat bekalan terbabit dari Johor.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah serta dadah, hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka juga didapati positif dadah jenis heroin.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 12 Disember nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengesan individu lain yang mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah membabitkan dua suspek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:39 PM