ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran membabitkan sembilan kenderaan iaitu enam van dan tiga lori di garaj stor Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, awal pagi hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran membabitkan sembilan kenderaan iaitu enam van dan tiga lori di garaj stor Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, awal pagi hari ini. FOTO ihsan bomba.
Zuliaty Zulkiffli


ENAM van milik syarikat Telekom Malaysia (TM) dan tiga lori diparkir di garaj stor Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar musnah dalam kebakaran, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, empat van dan sebuah lori musnah 90 peratus manakala sebuah lori dan sebuah van pula terbakar 80 peratus.

Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah lagi van dan lori hanya membabitkan kebakaran 40 dan 10 peratus.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Hadi Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.37 pagi dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi beberapa minit kemudian.

Beliau berkata, operasi disertai 16 anggota termasuk dua jentera, sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah motosikal RIM serta sebuah lori tangki.

“Bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan stor berkenaan dan tidak membabitkan mangsa.

“Operasi pemadaman dilakukan untuk mengawal api daripada terus merebak dan turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS),” katanya.

Abdul Hadi berkata, punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 10:38 AM