Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS mengesahkan kejadian kebakaran memusnahkan enam van dan tiga lori milik kontraktor Telekom Malaysia Berhad (TM) di garaj stor Lebuhraya Sultanah Bahiyah semalam adalah perbuatan khianat susulan penahanan seorang lelaki malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan jam 10 malam dalam tempoh tidak sampai 24 jam kebakaran itu berlaku.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan bersama Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mendapati terdapat unsur khianat dalam kebakaran itu.

“Susulan itu, kita menahan suspek dan dia turut mengaku terbabit dalam kegiatan mencuri minyak kenderaan yang disimpan di situ dan membuang puntung rokok di kawasan tempat kejadian.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, beberapa pakaian dan peralatan suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.

“kejadian itu menyebabkan enam van dan tiga lori terbakar selain beberapa peralatan telekomunikasi turut musnah membabitkan kerugian RM90,000.

“Suspek direman seminggu bermula hari ini dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) yang boleh membawa hukuman sehingga 14 tahun penjara dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam TM Kedah dan Perlis, Noridah Bachik berkata, semua kenderaan yang terbakar iaitu tiga lori dan enam van itu adalah milik kontraktor TM dan bukan milik TM.

“Perkara ini disahkan sendiri oleh pemilik kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

NSTP semalam melaporkan enam vandan tiga lori diparkir di garaj stor Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, empat van dan sebuah lori musnah 90 peratus manakala sebuah lori dan sebuah van pula terbakar 80 peratus.

Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah lagi van dan lori hanya membabitkan kebakaran 40 dan 10 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 5:08 PM