KEADAAN van yang rentung terbakar. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN van yang rentung terbakar. FOTO Ihsan Pembaca
Abnor Hamizam Abd Manap


PEMANDU van rentung selepas kenderaan dipandu terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pasir Besar-FELDA Palong Tiga, Jempol, pagi ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Azmi Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 8.41 pagi.

Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh serta Bahau dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah van dan lori tiga tan terbakar. Bomba memadamkan kebakaran dalam masa lima minit tetapi kedua-dua kenderaan itu musnah 100 peratus.

“Pemandu van ditemui rentung dalam kenderaan manakala pemandu lori dipercayai sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, identiti mangsa belum dikenal pasti dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 12:39 PM