SATU daripada kenderaan yang musnah dalam kebakaran rumah di Kampung Longob, Kota Marudu. FOTO Ihsan Bomba
SATU daripada kenderaan yang musnah dalam kebakaran rumah di Kampung Longob, Kota Marudu. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


BUKAN saja dua rumah terbakar, malah penghuninya kehilangan empat kenderaan yang turut hangus dalam kebakaran di Kampung Longob, Kota Marudu, awal pagi hari ini.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu apabila semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, dalam kejadian itu rumah jenis tidak kekal terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi rumah separuh kekal musnah 15 peratus.

Katanya, sebaik menerima panggilan pada 1.04 tengah pagi, seramai lima anggota diketuai Ketua Operasi, Kamarudin Sabanah serta dua jentera dihantar ke lokasi kejadian yang terletak 14 kilometer dari balai.

“Hasil siasatan, struktur kayu pada rumah pertama itu dan kenderaan diletakkan berhampiran terbakar sebelum api merebak dengan cepat, namun tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan beberapa rumah berhampiran daripada turut musnah,” katanya ketika dihubungi.

Rony berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan 3.02 pagi.

“Semua kenderaan terbakar 100 peratus iaitu Proton Saga, Perodua Kancil, Toyota Corona dan sebuah van.

“Punca kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 9:27 AM