Anggota bomba memadam kebakaran stor di bangunan UEM KL Sentral, Kuala Lumpur hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba memadam kebakaran stor di bangunan UEM KL Sentral, Kuala Lumpur hari ini. Foto Ihsan JBPM
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pekerja di bangunan UEM KL Sentral di Jalan Sentral 5 di sini, cemas apabila melihat kepulan asap keluar dari tingkat 20 bangunan berkenaan hari ini.

Kebakaran pada 2.33 petang itu membabitkan sebuah stor yang musnah 80 peratus.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan menghantar tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Pantai serta Sentul dengan kekuatan 39 anggota.

Komander Operasi Kanan Roshdi Fitri Roslan berkata, setibanya jentera di lokasi kejadian melihat kepulan asap keluar daripada tingkat 20 bangunan terbabit.

"Pemeriksaan anggota mendapati kebakaran berlaku di sebuah bilik stor berkeluasan 30x10 kaki persegi. Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada 5.06 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemusnahan kebakaran dianggarkan 80 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 7:54 PM