Sharifah Mahsinah Abdullah


SEORANG tukang jahit orang kurang upaya (OKU) yang tidak mempunyai kedua-dua tangan mampu menyiapkan sepasang baju Melayu dalam tempoh sehari.

Kecacatan dihidapi Rahim Yusoff, 51, sejak kecil lagi tidak menghalangnya untuk menjahit setanding dengan insan normal lain.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, kecacatan itu tidak pernah menghalang dia untuk berdikari.

“Saya dilahirkan dengan dua jari kecil di sebelah kanan bahu dan satu jari lagi di bahu kiri.

“Tetapi saya bersyukur kerana mempunyai kaki normal dan kaki serta tiga jari kecil ini dapat membantu saya untuk bergerak dan mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga,” katanya yang mula menjahit sejak 30 tahun lalu.

Ketika ditemui di kedainya di Pulai Chondong, Machang, Rahim yang lebih dikenali sebagai Poksu Mie, berkata pelanggan tetapnya suka menempah baju dengannya kerana dia boleh menyiapkan sepasang baju Melayu dan beberapa jenis baju dalam tempoh singkat.

“Mereka begitu teruja kerana saya mampu menyiapkan baju Melayu dan baju wanita dalam masa sehari dengan upah RM90 selain membaiki seluar jean dan pakaian lain serendah RM5.

“Menerusi kerja menjahit ini, saya mampu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM30 sehari dan dapat menampung perbelanjaan keluarga termasuk tiga anak berusia antara empat hingga 14 tahun dan isteri, Noraishah Hamzah, 44, yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah,” katanya.

RAHIM menggunakan kedua-dua kakinya untuk menjahit dan mampu menyiapkan sepasang baju Melayu dalam tempoh sehari ketika ditemui di kedainya di Pulai Chondong, Machang. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah.
RAHIM menggunakan kedua-dua kakinya untuk menjahit dan mampu menyiapkan sepasang baju Melayu dalam tempoh sehari ketika ditemui di kedainya di Pulai Chondong, Machang. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah.

Ramli dan isteri yang masing-masing mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 seorang, berkata dia masih cekap melakukan kerja sendiri termasuk memandu kereta kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Saya mahu membuktikan bahawa OKU seperti saya dan isteri masih boleh berdikari dan menjalani kehidupan seperti orang lain.

“Isteri saya walaupun terpaksa mengengsot dan jika keluar, dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak, dia tetap membantu keluarga membuat kerja sekadar mampu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 2:59 PM