Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) tanpa kedua-dua belah tangan nyata tidak menghalang Rahim Yusoff, 55, untuk memandu kereta dengan hanya menggunakan kaki.

Rahim yang juga pemilik kad OKU ketidakupayaan fizikal hanya bergantung kepada kekuatan kedua kakinya untuk melakukan kerja harian termasuklah memandu ke kedai jahitnya yang terletak di Pulai Chondong.

Katanya, rutin memandu itu dilakukannya sejak lebih 20 tahun lalu dan sudah dapat membiasakan diri, malah kereta yang digunakan juga tidak diubah suai, sebaliknya menggunakan gear automatik.

"Pada November tahun lalu, saya memandu sejauh 400 kilometer (km) untuk ke Kuala Lumpur dan ditemani anak serta isteri bagi menghadiri kursus kemahiran yang dianjurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Kompleks Sukan Negara, Bukit Kiara.

"Alhamdulillah, sepanjang memandu kereta selama ini, saya belum pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya, malah rasa selesa memandu dengan menggunakan kedua kaki dan tidak timbul masalah disebabkan rutin harian lain turut dilakukan dengan anggota berkenaan," katanya ketika ditemui di Pulai Chondong, di sini, semalam.

Rahim yang lebih mesra dipanggil Pok Su Mie berkata, proses yang perlu dilaluinya untuk mengambil lesen memandu adalah sama seperti orang lain dan ketika itu, dia perlu menggunakan kereta dengan gear automatik miliknya untuk belajar memandu sehinggalah benar-benar mahir.

"Bagaimanapun, saya perlu menunggu selama tempoh tiga tahun untuk mendapatkan lesen kereta serta kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disebabkan faktor keselamatan kerana memandu menggunakan kaki.

"Namun, sejak dari dulu sehingga kini, saya tetap menitikberatkan aspek keselamatan setiap kali memandu di jalan raya, malah setakat ini saya juga belum pernah 'dihon' walaupun ada ketikanya memandu secara perlahan," katanya.

Bapa kepada tiga anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun ini berkata, dia menyimpan impian untuk memandu kereta sendirian mengelilingi Semenanjung Malaysia dan berharap ia bakal menjadi kenyataan pada satu hari nanti.

Rahim yang juga bekas atlet paralimpik Kelantan berkata, meskipun anggota badannya memiliki kekurangan, namun tidak pernah menjadikan ia alasan untuk mengharapkan simpati daripada pihak lain, sebaliknya menguatkan semangat untuk terus berdikari selain mahu mengubah tanggapan negatif masyarakat mengenai golongan OKU.

"Saya melakukan pelbagai kerja seperti mengambil upah menjahit, menternak lembu, ikan air tawar dan memproses telur itik jeruk sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

"Walaupun kedua-dua tangan cacat, namun bersyukur kerana mempunyai kaki normal yang boleh membantu saya untuk melakukan urusan harian tanpa memerlukan bantuan orang lain.

"Saya yakin mesti ramai lagi OKU di luar sana yang mempunyai kebolehan luar biasa dan apa yang paling penting adalah kekuatan semangat selain sentiasa mahu berusaha kerana status OKU bukan alasan untuk menyusahkan orang di sekeliling selagi kita mampu melakukannya sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 8:16 AM