Hazira Ahmad Zaidi

MESKIPUN dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, namun kekurangan itu tidak membataskan lelaki ini untuk melakukan pelbagai kerja demi kelangsungan hidup.

Kecacatan dihidapi Rahim Yusoff, 54, sejak lahir, tidak pernah menjadi alasan mengharapkan simpati pihak lain, sebaliknya kekurangan itu menguatkan semangatnya untuk terus berdikari.

Rahim juga mahu mengubah stigma negatif masyarakat tentang keupayaan golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya Rahim, walaupun cacat kedua-dua tangan, dia bersyukur kerana mempunyai kaki normal yang dapat membantunya bergerak dan mencari rezeki bagi menyara kehidupan bersama isteri, Noraidah Hamzah, 45, yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan tiga anak berusia antara tujuh hingga 15 tahun.

“Sebagai ketua keluarga, saya akan berikhtiar melakukan pelbagai kerja bagi menyara kehidupan menggunakan kudrat yang ada dan selagi mampu saya tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Dengan fizikal yang tidak sempurna, saya menggunakan kemahiran menjahit untuk mengambil tempahan daripada penduduk sekitar dan mampu memperoleh pendapatan sekitar RM150 hingga RM200 sebulan bergantung kepada tempahan.

“Memandangkan pendapatan yang diperoleh tidak menentu, saya juga memelihara dan menjual lembu serta melakukan sistem pawah yang secara tidak langsung dapat menjana pendapatan tambahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Pangkal Gong, Pulai Chondong, Machang, semalam.

RAHIM meninjau ternakan lembunya. FOTO Zaman Huri Isa
RAHIM meninjau ternakan lembunya. FOTO Zaman Huri Isa

Rahim berkata, beban yang ditanggung sedikit ringan apabila dia dan isteri masing-masing mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 dan RM250 setiap seorang.

“Walaupun isteri saya terpaksa mengengsot, dia tetap membantu keluarga membuat kerja sekadar yang termampu,” katanya.

Bercerita lanjut, Rahim menjelaskan menternak lembu sejak enam tahun lalu selepas membeli lembu yang sudah bunting daripada seorang penternak di Machang pada harga RM250 seekor.

Menurutnya, dia memelihara dan menambah jumlah ternakan selain turut menjual kepada penduduk sekitar terutamanya bagi memenuhi permintaan ketika ibadah korban yang dijual antara RM2,500 hingga RM3,700 seekor dan tahun lalu sebanyak 10 ekor lembu yang dijual.

“Kini saya mempunyai lima lembu iaitu tiga ekor dipelihara sendiri dan dua ekor lagi melalui sistem pawah, yang mana penduduk di menyuruh saya menjaga ternakan mereka, termasuk seekor daripadanya diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.

“Bagi memastikan lembu berada dalam keadaan sihat, setiap enam bulan sekali saya akan memanggil pihak JPV untuk memberikan suntikan bagi mengelak jangkitan kaki dan mulut.

“Untuk makanan, selain memberi palet berharga RM31 untuk 50 kilogram yang hanya mampu bertahan tiga hari, saya juga akan melepaskan lembu di bendang berdekatan pada pagi hingga petang bagi meragut rumput,” katanya.

RAHIM yang tidak mempunyai kedua-dua tangan sejak lahir mampu menjahit dan menternak lembu. FOTO Zaman Huri Isa & NSTP
RAHIM yang tidak mempunyai kedua-dua tangan sejak lahir mampu menjahit dan menternak lembu. FOTO Zaman Huri Isa & NSTP

Menurutnya, ketika tragedi bah kuning pada 2014, dia pernah mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila 400 itik yang diternaknya mati, termasuk reban musnah dibawa arus banjir.

“Ketika itu, selain menjual itik, telur yang dihasilkan juga diperam untuk dijadikan telur masin yang diproses oleh isteri saya sebelum ia dijual bagi memenuhi permintaan.

“Saya akui trauma kerana rugi teruk apabila kesemua itik yang dipelihara mati, namun jika ada rezeki, saya mahu mengusahakannya kembali dalam jangka masa setahun atau dua tahun akan datang,” katanya yang juga penerima Anugerah Usahawan OKU Tani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 11:38 AM