Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Melihat kepada sepasang baju kurung yang dijahit kemas dengan rekaan mengikut peredaran semasa, sudah pasti kita tidak menjangkakan bahawa ia disiapkan oleh tukang jahit lelaki berusia 75 tahun.

Abdul Rahim Abdullah, seorang tukang jahit berpengalaman masih ligat memotong 'kain ela', selain penglihatan yang masih tajam memasukkan hujung benang pada mata jarum.

Dia yang berpengalaman lebih 40 tahun sebagai tukang jahit pakaian wanita seperti baju kurung, kebaya, jubah dan baju kurung Kedah, mengakui masih melakukan kerja berkenaan memandangkan jiwanya dalam bidang jahitan begitu mendalam.

"Alhamdulillah, di usia sebegini saya masih boleh menyiapkan tempahan pelanggan dengan baik. Segalanya dilakukan sendiri bermula daripada proses mengukur, memotong kain serta menjahit bagi memastikan setiap tempahan disiapkan dengan sempurna.

"Namun begitu, ada bezanya bila bekerja ketika masih muda dan tua yang mana kini saya hanya boleh menyiapkan dua pasang baju saja sehari berbanding jumlah yang lebih banyak sebelum ini, tambahan pula, saya sudah tiada pekerja berbanding dulu dengan mengupah sehingga lapan pekerja untuk membantu.

"Memang sudah ada niat untuk berhenti daripada menjahit dan turut disokong oleh tiga anak saya berusia 28 hingga 33 tahun, tetapi saya mudah berasa bosan selain menganggap dengan menjahit boleh mengisi masa terluang," katanya ketika ditemui di kedai jahit miliknya di bangunan tempat kereta bertingkat, Arked Perbadanan, di sini, semalam.

Abdul Rahim yang juga datuk kepada tiga cucu berkata, minatnya dalam bidang jahitan bermula daripada zaman remaja apabila sering membantu sepupunya yang mempunyai sebuah butik di Kuala Lumpur, sebelum mengambil keputusan mengambil kursus jahitan untuk menjadikan ia sebagai kerjaya yang lebih serius.

Menurutnya, bermula daripada situ, dia terus serius menjadi tukang jahit dan sehingga kini pelanggannya bukan saja dari Kelantan malah Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Perak.

"Saya mengambil upah serendah RM60 sehingga RM150 bergantung kepada jenis rekaan baju yang dikehendaki. Alhamdulillah, dengan hasil menjahit juga saya dapat menyara isteri, Tuan Saleha Tuan Muda, 50, dan tiga anak sehingga mampu ke menara gading.

"Nak jadi tukang jahit bukan saja perlu ada minat tetapi kesungguhan dan komitmen yang tinggi agar setiap tempahan yang diterima dapat disiapkan mengikut kepuasan pelanggan.

"Bagi saya menjahit adalah suatu kemahiran yang tidak rugi untuk dipelajari, ia boleh digunakan mencari punca pendapatan lumayan memandangkan kini agar sukar untuk mendapat sesuatu pekerjaan," katanya yang berasal dari Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini.

ABDUL Rahim menjahit baju kurung pelanggan ketika ditemui di kedai jahit miliknya. FOTO Syaherah Mustafa
ABDUL Rahim menjahit baju kurung pelanggan ketika ditemui di kedai jahit miliknya. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 10:31 AM