WAN DAUD berbual dengan bahasa isyarat dengan Rohaya di beranda rumah mereka. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN DAUD berbual dengan bahasa isyarat dengan Rohaya di beranda rumah mereka. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN DAUD menyiapkan tempahan baju pelanggan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN DAUD menyiapkan tempahan baju pelanggan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SUAMI isteri yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak bekerjasama menyiapkan tempahan baju raya di bulan Ramadan ini.

Wan Daud Wan Hassan, 58, dan isteri, Rohaya Mat Daud, 60, dari Kampung Pasir Hor, di Kota Bharu, menerima lebih 20 pasang baju Melayu dan kemeja daripada pelanggan.

Wan Daud ketika ditemui berkata, dia menjahit baju Melayu yang ditempah oleh pelanggan tetapnya yang mula dihantar sebelum puasa dengan bayaran RM100 sepasang.

Katanya, dia akan memotong dan menjahit baju Melayu dan kemeja, manakala isterinya akan membuat kerja kemasan seperti sembat.

“Kami bekerjasama untuk menyiapkan baju pelanggan memandangkan saya hanya mampu menyiapkan sepasang baju Melayu sehari.

“Saya mementingkan kualiti dan kemasan jahitan bagi memberi kepuasan kepada pelanggan untuk menggayakan baju yang saya hasilkan di pagi Aidilfitri.

“Saya mengehadkan tempahan kerana bimbang tidak sempat menyiapkannya dan setakat ini hanya menerima tempahan daripada pelanggan tetap,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Temubual dengan Wan Daud dan isteri menggunakan teks yang ditaip di telefon.

Pasangan berkenaan yang mempunyai tiga anak berusia di antara 23 tahun hingga 35 tahun berkata, komunikasi dengan pelanggannya juga menggunakan pen dan kertas serta aplikasi WhatsApp.

“Walaupun saya dan isteri golongan istimewa, tetapi kami tetap berusaha untuk mencari wang sampingan walaupun sudah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.

“Hasil jahitan ini, saya peroleh lebih RM500 sebulan selain sumbangan daripada tiga anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 11:21 AM