KEADAAN Honda HRV dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1.6, Penchala Link menghala ke Jalan Duta, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini, hingga menyebabkan penunggang motosikal maut selepas tercampak dari jejambat. FOTO ihsan polis.
KEADAAN Honda HRV dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1.6, Penchala Link menghala ke Jalan Duta, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini, hingga menyebabkan penunggang motosikal maut selepas tercampak dari jejambat. FOTO ihsan polis.
Hasbi Sidek


PENUNGGANG motosikal maut selepas tercampak jatuh dari jejambat dipercayai akibat dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang melawan arus di Kilometer 1.6, Penchala Link menghala ke Jalan Duta, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y150, Mohd Nabil Hashim, 22, maut di lokasi kejadian selepas tercampak dari jejambat pada ketinggian kira-kira lima meter.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dengan Honda HRV.

“Ketika penunggang motosikal melalui lokasi kejadian dari arah Penchala menghala ke Jalan Duta, dia secara tiba-tiba dilanggar MPV berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal di lokasi, kami difahamkan, MPV dipandu lelaki berusia 29 tahun itu melawan arus dan melanggar mangsa sebelum mangsa tercampak ke bawah jejambat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Kota Damansara itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 5.30 pagi.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk dibedah siasat sebelum polis memaklumkan kejadian kepada pihak keluarga mangsa,

“Pemandu MPV tidak cedera, namun kenderaan dipandu lelaki itu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.

“Kami masih menjalankan siasatan untuk mencari punca pemandu itu memandu secara melawan arus kerana perbuatan itu sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 3:40 PM