RAKAMAN CCTV
RAKAMAN CCTV
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) sudah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kemalangan maut membabitkan penunggang Ducati di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, di sini, kepada pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, rakaman video dan bahan bukti lain turut diserahkan bagi membantu siasatan, sekali gus mengesan penunggang motosikal yang melawan arus.

"Kejadian semalam amat dikesali, seperti diketahui penunggang motosikal berkuasa tinggi berkenaan maut selepas dilanggar penunggang lain yang melawan arus.

"Kami sudah menyerahkan segala bukti kejadian yang dirakam melalui CCTV sepanjang Lebuhraya SUKE kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media selepas perasmian SUKE fasa dua di Plaza Tol Alam Damai, di sini, hari ini.

Mohammad Azlan berkata, bagi menangani isu keselamatan pengguna Lebuhraya SUKE, Prolintas akan mengambil inisiatif meletakkan papan tanda amaran melawan arus bagi memberi kesedaran kepada pengguna.

Beliau berkata, dari segi aspek teknikal Lebuhraya SUKE dibina mengikut spesifikasi tinggi menggunakan kejuruteraan berstandard dunia dan disahkan semua pihak berkuasa serta jurutera perunding.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa langkah untuk memenuhi kriteria dan keselamatan trafik, termasuk meletakkan papan tanda di tepat strategik terutama yang dapat mengatasi isu menunggang melawan arus," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dilapor berkata, polis masih mengesan penunggang motosikal melawan arus yang dipercayai melarikan diri selepas kemalangan maut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 3:06 PM