Lebuhraya SUKE
Lebuhraya SUKE
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis sudah merakam percakapan operator rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) berhubung kemalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi di lebuh raya berkenaan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu juga sudah dihantar ke Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

"Suspek bagi kes ini juga sudah diambil keterangan dan keadaan dia masih cedera namun stabil.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya Selangor dalam tempoh terdekat selepas siasatan berhubung kemalangan terbabit selesai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 14 Jun lalu, dalam kemalangan berkenaan, mangsa yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

Kemalangan itu terakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudian dikongsi di media sosial.

Susulan kejadian itu, penunggang motosikal yang melawan arus sehingga menyebabkan nahas itu, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Kajang dekat sini, tiga hari selepas kejadian.

Lelaki berusia 41 tahun dari Kajang, Selangor yang berniaga makanan itu juga sudah dirakam keterangan.

Setakat ini, polis sudah merakam keterangan enam orang termasuk suspek bagi membantu siasatan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 12:40 PM