TOYOTA Hilux dinaiki mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan lori di Kampung Batu Bakarang Tengah, Limbang, hari ini, mengakibatkan dua maut dan dua lagi parah. FOTO ihsan bomba.
TOYOTA Hilux dinaiki mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan lori di Kampung Batu Bakarang Tengah, Limbang, hari ini, mengakibatkan dua maut dan dua lagi parah. FOTO ihsan bomba.
Mohd Rizal Abdullah


DUA maut termasuk isteri atlit renang paralimpik negara, Jamery Siga, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 6, berhampiran Kampung Batu Bakarang Tengah, Limbang, hari ini.

Dalam kejadian 11.19 pagi itu, isteri Jamery, Annissa Saksriprapa Nantharat Sunan, 27, dan lelaki warga Slovakia, Jaros, 71, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, kejadian berlaku apabila Toyota Hilux dipandu Annissa bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Jalan Kubong menuju ke bandar Limbang.

“Pemandu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

“Kejadian itu mengakibatkan Anissa dan Jaros yang berada di bahagian penumpang hadapan maut serta-merta di lokasi kejadian.

“Manakala tiga penumpang lain masing-masing seorang lelaki dan dua wanita warga Slovakia berusia antara 51 sehingga 61 tahun dilaporkan parah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa yang maut dan mangsa parah dibawa ke Hospital Limbang untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 5:21 PM