JAMERY (tengah) puas hati raih emas walaupun dibelenggu kecederaan belakang sejak dua bulan lalu. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
JAMERY (tengah) puas hati raih emas walaupun dibelenggu kecederaan belakang sejak dua bulan lalu. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aida Adilah Mat


DIBELENGGU masalah kecederaan belakang sejak dua bulan lalu bukan alasan Jamery Siga menghadiahkan emas buat kem renang negara.

Bangkit daripada kegagalan apabila sekadar meraih perak dalam acara 200 meter gaya bebas S5 (kecacatan anggota tangan dan kaki) pada sesi pagi, Jamery menebus kehampaan itu dengan menghadiahkan emas dalam acara 50m kuak kupu-kupu S5 di temasya Para ASEAN Kuala Lumpur.

Jamery, 31, membuktikan fokus adalah rahsia utama kejayaan biarpun terpaksa berdepan pelbagai rintangan.

“Saya tahan saja sakit itu sebab tidak mahu hilang fokus kerana mahu menghadiahkan emas kepada negara. Sebagai tuan rumah memang saya ingin sangat menang emas ini.

“Tambahan pula saya tidak mahu menghampakan harapan keluarga saya yang datang dari jauh untuk melihat saya baraksi hari ini.

“Emas ini adalah untuk mereka dan semua rakyat Malaysia yang memberikan sokongan,” katanya.

Lebih manis ia emas ketiga buat kontinjen negara pada saingan hari kedua acara renang dipertandingkan di Pusat Akuatik Nasional selepas Anas Zul Amirul Sidi dalam acara 100m gaya bebas S14 (masalah pembelajaran) dan Yoong Chung Wei 50m kuak kupu-kupu S14.

Atlet kelahiran Limbang, Sarawak itu mencatat masa 40.16 saat untuk menewaskan perenang Myanmar, Maung Maung Soe 49.11s di tempat kedua dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli 55.91s ketiga.

Bagaimanapun, terbit rasa tidak puas di hati Jamery apabila dia gagal mengulangi pencapaian masa 38s yang dilakukan ketika menyertai Kejohanan Renang Para Dunia di Portugal berikutan terpaksa berlatih tanpa jurulatih.

Catatan masa 40.16s itu juga jauh daripada masa yang dilakukan ketika Para ASEAN di Singapura.

Dua tahun lalu Jamery menyumbang dua emas dan dua perak. Emas dihadiahkan dalam acara 200m gaya bebas dan 50m kuak kupu-kupu, manakala perak dalam acara 50m dan 100m gaya bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 5:04 PM