FOTO hiasan
FOTO hiasan
Erika George


Limbang: Dua penunggang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Buangsiol, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut ialah Akmal Haziq Arshad, 25 dan Richard Ruaini, 33.

"Seorang lagi penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 17 tahun dan pembonceng salah satu motosikal iaitu warga Indonesia mengalami kecederaan parah," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal dijalankan mendapati ketika kejadian, Akmal dan seorang lagi rakannya sedang bergerak seiring dari arah Bandar Limbang menuju ke Patiambun.

"Sampai di satu laluan lurus, sebuah lagi motosikal ditunggang Richard dan bersama pemboncengnya tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan dua motosikal itu," katanya.

Katanya, impak perlanggaran yang kuat turut menyebabkan kesemua mangsa terpelanting ke tengah jalan.

Tambahnya, pasukan paramedik yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal di lokasi kejadian manakala dua lagi parah.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Limbang untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 4:54 PM