GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Aqidah Azizi


DUA anggota polis dan dua orang kena tuduh (OKT) cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berdekatan Plaza Tol Senawang, hari ini.

Dalam kejadian pada 4 petang, dua lagi anggota polis dan tiga OKT lain yang berada dalam van terbabit tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila van Toyota Hiace dinaiki mereka melanggar bahagian belakang pacuan empat roda Toyota Hilux.

Pemandu van dikatakan gagal mengelak Toyota Hilux yang berhenti mengejut berikutan kesesakan jalan di kawasan itu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Pegawai Bomba Kanan II Amer Abu Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.57 petang sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pemandu van polis berkenaan patah kaki kanan sementara seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan ringan di bahagian dada.

“Salah seorang OKT juga putus urat di bahagian peha dan seorang lagi turut mengalami kecederaan ringan di bahagian dada.

“Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:56 PM