KEMALANGAN membabitkan dua pacuan empat roda di di Jalan Tunggul Tinggi, Sipitang. FOTO IHSAN JBPM
KEMALANGAN membabitkan dua pacuan empat roda di di Jalan Tunggul Tinggi, Sipitang. FOTO IHSAN JBPM
Norasikin Daineh


PEMANDU pacuan empat roda maut, manakala 10 lain mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tunggul Tinggi, Sipitang, semalam.

Dalam kejadian 6.10 petang, Salim Khan Abdul Sapar, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kemalangan membabitkan dua pacuan empat roda Ford Ranger dan Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati, Ford Ranger dinaiki tujuh lelaki dipercayai dalam perjalanan dari Masapol menuju ke Sipitang.

“Bagaimanapun, kenderaan ini hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu, Salim yang juga pemandu Ford Ranger disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa lain hanya mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Champin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.12 petang.

“Seramai lima anggota bersama dua jentera dikejar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan jam 7.59 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 8:40 AM