SEBUAH bas ekspres terbabas ke dalam parit di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, hari ini. FOTO ihsan bomba
SEBUAH bas ekspres terbabas ke dalam parit di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, hari ini. FOTO ihsan bomba
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Dua parah manakala 19 penumpang cedera dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan pacuan empat roda di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 petang.

Menurutnya, kemalangan membabitkan 21 mangsa iaitu seorang pemandu, 19 penumpang bas dan seorang pemandu Toyota Hilux.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati Toyota Hilux terbabas ke pembahagi jalan dan bas ekspres terbabas ke dalam parit.

"Terdapat dua mangsa masing-masing pemandu lelaki dan penumpang wanita bas ekspres mengalami kecederaan parah.

"Anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan parah dengan dibantu pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Seri Manjung menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Manjung dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan turut dihantar ke hospital sama dan operasi menyelamat ditamatkan jam 7.17 malam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Lumut ke Ipoh.

"Kemalangan berpunca daripada Toyata Hilux yang menukar lorong daripada sebelah kanan ke kiri secara tiba-tiba. Bas ekspres tidak sempat membrek dan terbabas ke dalam parit di bahu jalan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 8:26 PM