ANGGOTA pasukan 6RAMD menunjukkan  daun ketum dan motosikal yang dirampas.
ANGGOTA pasukan 6RAMD menunjukkan daun ketum dan motosikal yang dirampas.
Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Cubaan tiga lelaki menyeludup 194 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM17,000 ke negara jiran dipatahkan pasukan Enam Rejimen Askar Melayu Diraja (6RAMD) berhampiran Pos Sahara kelmarin.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, kegiatan terbabit dikesan ketika rondaan pasukan berkenaan yang diketuai Leftenan Muda, Mohamad Hafizudin Alimat bersama empat anggota pada jam 5.45 petang.

“Semasa rondaan, pasukan itu terserempak tiga lelaki menunggang motosikal masing-masing membawa dua guni putih diletakkan di bahagian belakang.

“Apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan, ketiga-tiga lelaki terbabit terus melarikan diri ke dalam hutan menuju ke arah sempadan dan meninggalkan motosikal dan barang yang dibawa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pemeriksaan lanjut mendapati enam guni putih itu mengandungi daun ketum diikat dan dibalut dengan plastik lut sinar.

Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit berani mengambil risiko menyeludup daun ketum ke negara jiran berbanding modus operandi digunakan penyeludup sebelum ini yang sering meninggalkan daun ketum di dalam semak sebelum diseludup pihak ketiga.

“Akibat permintaan dan harga pasaran tinggi di Thailand, penyeludup ini tetap berani melakukan aktiviti haram terbabit biarpun kegiatan mereka sering dipatahkan anggota keselamatan.

“Rampasan ini yang pertama dilakukan pasukan enam RAMD selepas mengambil alih operasi pada 13 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata, rampasan bernilai hampir RM25,000 termasuk tiga motosikal diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:07 AM