ANGGOTA 4RS menunjukkan motosikal dan daun ketum yang ditemui di dalam semak berhampiran sempadan  Malaysia-Thailand. FOTO ihsan ATM
ANGGOTA 4RS menunjukkan motosikal dan daun ketum yang ditemui di dalam semak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. FOTO ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman

HASRAT lima lelaki untuk menyeludup 328 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM31,000 ke negara jiran gagal apabila bertembung dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam kawasan semak berhampiran sempadan di Padang Terap, semalam.

Kegiatan itu ditumpaskan oleh pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) dalam dua kes berasingan di kawasan operasi sama.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, dalam kejadian 7 pagi, pasukan yang diketuai Sarjan Sarman Mohamad terserempak dengan empat lelaki yang menunggang motosikal dengan membawa muatan lapan guni dan dua plastik lutsinar mengandungi 296 kg daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM28,000.

“Empat lelaki yang masing-masing menunggang motosikal itu kemudianya mencampakkan semua guni terbabit dan meninggalkan motosikal sebelum melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

“Kesemua lelaki terbabit menunggang motosikal yang tidak mempunyai nombor pendaftaran; bagaimanapun, mereka dipercayai orang tempatan yang mahu menyeludup ketum ke negara jiran berikutaan permintaan dan harga yang tinggi di sana,”katanya dalam kenyataan di Padang Terap, hari ini.

Abdul Aziz berkata pada 3 petang seorang lagi lelaki juga terpaksa mecampakkan tiga guni daun ketum seberat 32 kg bernilai lebih RM3,000 sebelum melarikan diri selepas terserempak dengan pasukan berkenaan yang diketuai oleh Koperal Rosli Ismail.

Katanya, lelaki terbabit menunggang motosikal seorang diri juga dipercayai orang tempatan.

“Kesemua lelaki yang melarikan diri dipercayai berusia antara 25 hingga 30 tahun. Kita percaya penyeludup ini terpaksa menunggu hari dan masa yang sesuai untuk melakukan penyeludupan dan menyangka anggota keselamatan bercuti pada hari Ahad.

“Namun anggota ATM komited melaksanakan rondaan 24 jam setiap sehari bagi mengekang kejadian penyeludupan di sempadan,”katanya.

Kesemua daun ketum dan motosikal yang dirampas kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 9:20 AM