LELAKI yang bertindak mengurung dua anaknya sebelum cuba membunuh diri dengan membuka injap tong gas petroleum cair (LPG) selain mengugut minum racun di dalam rumah mereka di Kampung Jering, Ayer Tawar semalam direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
LELAKI yang bertindak mengurung dua anaknya sebelum cuba membunuh diri dengan membuka injap tong gas petroleum cair (LPG) selain mengugut minum racun di dalam rumah mereka di Kampung Jering, Ayer Tawar semalam direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI yang bertindak mengurung dua anaknya sebelum cuba membunuh diri dengan membuka injap tong gas petroleum cair (LPG) selain mengugut anaknya minum racun di dalam rumah mereka di Kampung Jering, Ayer Tawar, Manjung, semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

Suspek berusia 45 tahun itu yang memakai pakaian lokap warna ungu dibawa menaiki kenderaan polis dan tiba ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada 8.30 pagi.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim membenarkan permohonan reman dikemukan pihak polis terhadap suspek bagi membantu siasatan lanjut kes itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut dan hasil ujian air kencing yang dijalankan pada suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

Katanya, hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan masalah keluarga dan pengaruh dadah.

"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

"Suspek sudah lama terbabit dengan dadah, malah mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan bahan terlarang itu dan ketika kejadian, suspek juga berada di bawah pengaruh dadah.

"Dua anak suspek kini berada di Hospital Seri Manjung (HSM) bagi mendapatkan rawatan susulan kejadian itu dan mereka dijaga ahli keluarga," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

NSTP semalam melaporkan, suspek mahu membunuh diri bersama dua anaknya dan kemudian membuka kepala tong gas di dalam rumah, malah turut mahu meminum racun bersama anaknya.

Dalam kejadian 11 pagi itu, anak saudara suspek berusia 25 tahun menerima panggilan daripada guru sekolah yang memaklumkan suspek mengambil dua anaknya yang berusia lima dan lapan tahun di sekolah itu.

Bagaimanapun, polis dengan bantuan pasukan bomba kemudian berjaya menahan lelaki itu dan menyelamatkan kedua-dua anaknya.

Difahamkan, suspek bertindak di luar kawalan kerana tertekan kerana mempunyai masalah keluarga berikutan isterinya yang dipercayai wanita warga Vietnam dikatakan sudah pulang ke negara asal.

Suspek juga didakwa sebelum ini sudah beberapa kali membahayakan keselamatan anaknya.

Berita berkaitan:

'Apabila bapa hilang waras akal...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 2:08 PM