SUSPEK yang ditahan kerana membunuh ibunya. FOTO ihsan polis
SUSPEK yang ditahan kerana membunuh ibunya. FOTO ihsan polis
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis mengesahkan lelaki yang bertindak kejam memenggal kepala ibu sendiri di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor, kelmarin, berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia 28 tahun itu bertindak kejam membunuh mangsa ketika meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah.

"Suspek ditahan reman tujuh hari bermula 16 hingga 22 Januari ini. Barang kes sudah dirampas dan punca kejadian adalah suspek dipercayai dipengaruhi dadah.

"Kita percaya masa kejadian itu, suspek hendak meminta duit daripada ibunya (untuk membeli dadah)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek juga mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 56 tahun maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dilaporkan berkata, polis menerima maklumat pada jam 5.45 petang berhubung kejadian seorang wanita dicederakan oleh anaknya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

Katanya, suspek yang juga penganggur tinggal bersama mangsa dan suaminya, manakala anak mangsa yang lain pula menyewa di kawasan berhampiran.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 2:05 PM