(Dari kiri) Zahrain, Adeline (tengah atas), Ghulam Jelani, Siow dan Dompok adalah ketua perwakilan Malaysia yang ditamatkan perkhidmatan.
(Dari kiri) Zahrain, Adeline (tengah atas), Ghulam Jelani, Siow dan Dompok adalah ketua perwakilan Malaysia yang ditamatkan perkhidmatan.
Rizanizam Abdul Hamid

KERAJAAN menamatkan kontrak enam ketua perwakilan Malaysia lantikan politik pada 30 Jun lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan itu adalah selaras dengan arahan kerajaan kerana lantikan politik dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

Katanya, mereka membabitkan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Duta Besar ke Indonesia), Tan Sri Bernard Giluk Dompok (Duta Besar ke Vatican City) dan Datuk Ghulam Jelani Khanizam (Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei).

“Datin Seri Blanche Olbery (Duta Besar ke Finland), Datuk Adeline Leong (Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei) dan Datuk Siow Chen Pin (Konsul Jeneral Malaysia di Kunming),” katanya dalam jawapan bertulis kepada Pang Hok Liong (PH-DAP Labis) di Dewan Rakyat.

Jawapan berkenaan diedarkan, hari ini.

Saifuddin berkata, dua lagi lantikan politik iaitu Duta ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique, meletak jawatan pada 23 April lalu manakala Duta ke Kemboja, Datuk Seri Hassan Malek, menamatkan perkhidmatan pada 31 Mac lalu.

Zulhasnan pernah mengetuai Kementerian Wilayah Persekutuan, manakala Hassan adalah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 7:54 PM