MOHD Sori Husain mengumumkan Nik Nazmi sebagai pemenang kawasan P118 Setiawangsa. FOTO Mohd Yusni Ariffin
MOHD Sori Husain mengumumkan Nik Nazmi sebagai pemenang kawasan P118 Setiawangsa. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Ahmad Suhael Adnan


BARISAN Nasional (BN) gagal mempertahankan kubu tunggalnya di ibu negara apabila calonnya di Parlimen Setiawangsa, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique tewas kepada pencabarnya dari PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Keputusan Parlimen Setiawangsa bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu, diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Setiawangsa, Mohd Sori Husain, di pusat penjumlahan undi Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, 11.55 malam tadi.

Kemenangan Nik Nazmi itu menyaksikan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Setiawangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang dikuasai parti itu sejak tiga penggal lalu.

Mohd Sori mengumumkan Nik Nazmi menang dengan mendapat 34,471 undi, menewaskan Zulhasnan yang memperoleh20,099 undi.

Calon PAS, Ubaid Abdul Akla pula gagal memberi tentangan sengit dalam persaingan tiga penjuru di kerusi berkenaan apabila sekadar menerima 6,282 undi. Nik Nazmi menang dengan majoriti 14,372.

Ketika pengumuman keputusan undian itu, hanya Nik Nazmi dan Ubaid yang hadir ke Stadium Titiwangsa, manakala Zulhasnan tidak hadir.

Kerusi Parlimen Setiawangsa yang memiliki 72,136 pengundi, dengan 85.8 peratus daripada jumlah itu keluar mengundi, selain 693 undi ditolak.

Parlimen Setiawangsa disifatkan sebagai kubu BN berikutan tidak pernah kalah sejak kerusi itu diwujudkan pada 2004, dengan penyandang ketika ini adalah Datuk Ahmad Fauzi Zahari dari BN yang memenanginya pada PRU-13 dengan majoriti 1,390 undi.

Zulhasnan yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), kembali bertanding di kerusi terbabit selepas pernah menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa pada 2004 dan 2008, selain Ahli Parlimen Wangsa Maju pada 1999.

Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda PKR, adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang dimenanginya pada 2008 dan 2013, manakala Ubaid yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, adalah muka baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 12:33 AM