ZAHRAIN. FOTO Arkib NSTP
ZAHRAIN. FOTO Arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


BEKAS Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau tidak berkecil hati dengan keputusan kerajaan menamatkan kontraknya 30 Jun lalu, empat bulan lebih awal dari tarikh sepatutnya pada Oktober depan.

Katanya, beliau menerima dengan hati terbuka kerana sudah berkhidmat selama lima tahun di Jakarta, dan terpulang kepada kerajaan untuk membuat sebarang keputusan.

“Kerajaan adalah majikan kita, justeru terpulanglah kepada mereka dan saya mengikut sahaja. Saya mendapat surat tamat kontrak 30 Jun pada minggu kedua Jun lalu walaupun sepatutnya tarikh tamat ialah Oktober depan.

“Saya sampai di Malaysia pada 30 Jun lalu. Selepas ini, mungkin saya akan berniaga, selain meluangkan masa bermain dengan cucu,” katanya ketika dihubungi wartawan NSTP, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Bayan Baru itu dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia pada Oktober 2013.

Isu pemberhentian penjawat awam berstatus kontrak secara lantikan politik, timbul susulan peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini mendedahkan bahawa pentadbiran kerajaan terdahulu melantik 17,000 pegawai dan kakitangan secara lantikan politik yang disifatkan terlalu ramai, termasuk duta tidak memiliki kebolehan dan pengalaman tetapi menikmati gaji tinggi.

Terdahulu, media melaporkan bahawa antara duta lantikan politik ialah Zahrain; Duta Besar Malaysia ke Holy See, Tan Sri Bernard Dompok; dan Duta Besar Malaysia ke Finland, Datin Seri Blanche Olbery.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 6:25 PM